07-Jul-2025

Kemasukan Pelajar Baharu Asasi di Pusat Pengajian Asasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent) Sesi Akademik 2025/2026


UMK DIJANGKA MULA TAWARKAN PROGRAM ASASI SAINS HUFFAZ ULUL ALBAB TAHUN HADAPAN, 383 PELAJAR BAHARU PROGRAM ASASI SAINS MULA DAFTAR SESI 2025/2026.
JELI 7 Julai 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menerima seramai 383 pelajar baharu yang mendaftar bagi kemasukan Pelajar Baharu Asasi di Pusat Pengajian Asasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK-AsCent) Sesi Akademik 2025/2026 yang bermula hari ini di UMK Kampus Jeli.
Daripada jumlah itu, seramai 217 adalah pelajar dari Program Asasi Sains, 148 pelajar dari Program Asasi Sains Sosial dan 18 pelajar dari Program Asasi Teknologi Maklumat Huffaz.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Huzili Hussin, proses pendaftaran hari ini bermula seawal jam 8.00 pagi berlangsung dengan lancar hasil bantuan sistem yang dibangunkan oleh Pusat Komputeran & Informatik (CCI) UMK.
Katanya, UMK-AsCent menawarkan Program Asasi Sains Sosial iaitu program pengajian baharu dan ditawarkan secara rintis untuk menerima seramai 148 pelajar kohort pertama bagi kemasukan pelajar baharu.
“Program Asasi Sains Sosial adalah sebahagian daripada inisiatif UMK bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan mencakupi pelbagai bidang pada masa depan.
“Program ini memperkenalkan pelajar lepasan SPM kepada asas dalam bidang seperti Prinsip Ekonomi, Prinsip Perakaunan, Pengajian Am, Pengenalan kepada Sains Sosial, serta kursus-kursus sokongan seperti Bahasa Inggeris, Keusahawanan, dan Ko-Kurikulum.
“Asasi Sains Sosial bukan sekadar persediaan akademik tetapi melatih pelajar menjadi individu berpemikiran kritis, cakna masyarakat, dan berdaya saing, sejajar dengan nilai keusahawanan yang diterapkan di UMK,” katanya selepas menyantuni pelajar dan ibu bapa di Minaret, UMK Kampus Jeli, Kelantan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah UMK-AsCent Prof. Madya Dr. Hjh. Marinah Muhammad berkata,
UMK-AsCent bakal memperkenalkan Program Asasi Sains baharu berteraskan integrasi elemen quranik, ijtihadik dan ensiklopedik dengan penawaran kursus-kursus huffaz dalam pelan pengajiannya.
Katanya, pendekatan baharu ini sebagai pengukuhan ilmu Al-Quran menerusi penawaran program akademik bagi lepasn SPM di UMK pada masa hadapan.
“Pakej lengkap melalui Program Asasi Sains Pakej Huffaz atau Ulul Albab ini dijangka ditawarkan pada pengambilan sesi 2026/2027, tahun hadapan.
“Tawaran ini akan memberi peluang kepada para pelajar SPM aliran sains yang telah menghafal 30 juzuk Al-Quran, untuk memilih pakej Ulul- Albab dimana pelajar berupaya untuk menjaga hafalan Al-Quran melalui kelas tasmi’ dan murajaah Al-Quran di samping kelas akademik lain yang masih sama dengan pelajar Asasi Sains pakej konvensional.
“Program Asasi Sains UMK Pakej Ulul Albab ini bukan sahaja memberi kelebihan dalam bidang akademik, malah turut membentuk sahsiah pelajar melalui pengukuhan ilmu Al-Quran,” jelas beliau lagi.
Turut menyantuni pelajar dan ibu bapa pada sesi pendaftaran kemasukan hari ini ialah Dekan Fakulti Industri dan Asas Tani, Prof. Madya Dr. Seri Intan Mokhtar, Dekan Fakulti Sains Bumi, Prof. Madya Dr. Zulhazman Hamzah, Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Prof. Madya Ts. Dr. Sarizam Mamat, Ketua Jabatan Sains UMK-AsCent, Dr. Aainaa Syazwani Mohamad Amir Hamzah dan Ketua Jabatan Sains Sosial UMK-AsCent, Ts. Tengku Halimatun Sa'adiah T Abu Bakar.





ARCHIVE
2025
November (1)
October (1)
August (1)
July (2)
February (3)
2024
July (1)
June (2)
May (1)
February (1)
2023
December (4)
July (3)
March (1)
2022
July (2)