07-Aug-2025
PROGRAM MALAYTHAI
UMK SEDIA MAIN PERANAN LEBIH BESAR SEBAGAI RAKAN STRATEGIK PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN DI WILAYAH SELATAN THAILAND.
JELI 7 Ogos 2025 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik terutamanya melibatkan empat wilayah di selatan Thailand dengan memperkukuhkan kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Kerjasama ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini sekaligus memperkukuhkan jaringan pendidikan dan budaya Malaysia–Thailand secara berterusan.
Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah berpendapat bahawa kedudukan geopolitik Kelantan yang berada bersempadanan dengan wilayah selatan Thailand, memberi kelebihan kepada UMK untuk membina platform kerjasama untuk pembangunan bersama antara Kelantan dan Pattani.
Beliau berkata, kunjungan delegasi dari Wilayah Pattani ke UMK Kampus Jeli pada pagi ini juga membawa mesej jelas tentang komitmen UMK dalam memperkukuh jaringan pendidikan dan budaya Malaysia–Thailand.
“Melalui lawatan delegasi Pattani ini, UMK sebenarnya telah lama mengadakan kerjasama dengan Universiti-Universiti di Selatan Thailand untuk tujuan kerjasama akademik.
“Namun, sehingga hari ini belum pernah sekalipun ada jalinan kerjasama dengan sekolah-sekolah menengah, kolej-kolej teknikal untuk tujuan mendapatkan pelajar menyambung pengajian di UMK.
“Lawatan delegasi Wilayah Pattani kali ini diadakan sempena lawatan balas UMK ke selatan Thailand yang diketuai oleh Mantan Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak.
“Kunjungan delegasi pada masa itu bertujuan untuk membincangkan tentang peluang bagi mengadakan kerjasama akademik versa ma sekolah-sekolah dan kolej teknikal di selatan Thailand,” katanya pada Program MalayThai Sempena Kunjungan Delegasi Wilayah Pattani, Thailand ke UMK di Dewan Serbaguna UMK Kampus Jeli, hari ini.
Hadir sama pada Program MalayThai ialah Ahli Lembaga Pengarah UMK, Dato’ Haji Mohd Adhan Kechik, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YBrs. Prof. Dr. Huzili bin Hussin dan Pengarah UMK Kampus Jeli, Prof. Ts. Dr. Aweng A/L Eh Rak.
Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Arham, lawatan ini membuka pintu kolaborasi dua hala dalam pelbagai bentuk kerjasama termasuk program pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan serta pembangunan komuniti rentas sempadan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
“Ia juga mengukuhkan agenda pengantarabangsaan melalui kunjungan Program MalayThai, yang diketuai oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Pattani, Encik Suriya Mardthing, yang mewakili Gabenor Wilayah Pattani, TYT Hjh. Pateemoh Sadeeyamu.
“Delegasi Gabenor Wilayah Pattani, Thailand turut dihadiri oleh 147 pegawai kanan pendidikan Thailand yang mewakili pelbagai agensi, termasuk Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Pendidikan Asas, Suruhanjaya Pendidikan Vokasional serta Pejabat Pendidikan Wilayah Pattani.
“Turut hadir adalah wakil Konsul Jeneral Thailand iaitu Pengarah Pejabat Promosi Pembelajaran Wilayah Pattani, Puan Kamolrat Suankaew dan Puan Sutisa Soonkong,” jelas beliau.
Sementara itu, sambutan dimulakan dengan ketibaan delegasi seawal jam 8.30 pagi di Kompleks ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah, telah disambut oleh barisan pengurusan tertinggi UMK sebelum bergerak ke Kolej Komuniti Jeli bagi sesi taklimat dan lawatan ringkas.
Delegasi Wilayah Pattani, Thailand meneruskan perjalanan ke UMK Kampus Jeli untuk acara sambutan utama yang akan diadakan di Dewan Serbaguna UMK Kampus Jeli sekitar jam 10.30 pagi.
Ketibaan delegasi disambut dengan irama rebana mangkuk sebagai simbolik sambutan hormat UMK menerima tetamu serumpun daripada Wilayah Pattani, Thailand.
Sementara itu, Prof. Dr. Huzili berkata, kunjungan delegasi Thailand ini selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan UMK sebagai hab ilmu dan inovasi di rantau ASEAN, di mana hubungan akrab dengan Wilayah Pattani mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran dan memperluas perspektif global warga kampus.
Katanya, selain itu bagi melihat sendiri inisiatif pembangunan komuniti Orang Asli yang dilaksanakan UMK, selaras dengan visi universiti sebagai pemacu pembangunan lestari.
“Kunjungan ini diharap menjadi platform berterusan untuk membina kepercayaan dan persefahaman budaya antara kedua-dua negara.
“Dengan landskap sosio-budaya yang serumpun, kerjasama ini berpotensi melahirkan projek komuniti yang lebih inklusif, selain menyumbang kepada matlamat pembangunan lestari yang menjadi fokus UMK dalam melahirkan graduan berdaya saing global,”jelasnya.
Tambah Prof. Dr. Huzili, Program MalayThai bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomasi pendidikan, malah mencerminkan peranan UMK sebagai jambatan strategik yang menghubungkan idea, inovasi dan nilai kemanusiaan merentasi sempadan Malaysia–Thailand.
Pada aturcara lawatan itu, delegasi Wilayah Pattani, Thailand turut dibawa melihat pameran pelbagai program pengajian UMK oleh Pusat Pengurusan Akademik (PPA), Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Malaysia Graduate School of Entrepreneurship and Business (MGSEB) yang dikoordinasikan oleh Pusat Antarabangsa UMK.